Monday

PENTERNAKAN KAMBING & PROGRAM PEMBAKAAN

1. Pemilihan Baka Kambing & "Business Model"
2. Program Pembakaan Boer Yang Kos Efektif



1. Pemilihan Baka Kambing Dan 'Business Model"


Penternakan Baka Tulen Untuk Skala Kecil

Penternakan adalah suatu perniagaan. Jadi adalah penting untuk menentukan model perniagaan ("business model") anda dalam memulakan sesuatu projek penternakan kambing. Sekiranya anda memilih untuk memelihara kambing dalam kuantiti yang sedikit (misalnya kurang dari 100 ekor), produk anda haruslah bernilai tinggi, iaitu ladang anda harus mengeluarkan produk yang berkualiti dan bersifat "niche". Ini bermakna anda harus memilih baka yang betul-betul tulen ("Fullblood).

Dalam konteks Malaysia, baka Boer, Saanen, Jamnapari dan Anglo-Nubian tulen dapat meraih harga pasaran yang tinggi, terutamanya pejantan. Anak berusia kira-kira 6 bulan dapat dijual dengan harga RM1ribu ke atas, manakala yang berusia 1 tahun dapat dijual dengan harga RM2 ribu ke atas. Ini berbanding dengan harga baka kacukan yang hanya dijual dengan harga kira-kira RM600 bagi yang berusia 6 bulan, manakala yang berusia 1 tahun pula dapat mencapai harga RM1ribu.


Pejantan Saanen yang masih muda, berusia kira-kira 12 bulan


Induk Saanen merupakan pengeluar susu yang terbaik


Di negara khatulistiwa seperti Malaysia, penternakan kambing sewajibnya dilakukan di dalam kandang, memandangkan iklim yang lembap serta keadaan cuaca yang kadang-kadang panas dan kadang-kadang hujan. Kambing seharusnya dielakkan dari merayau dan meragut di tanah yang lembab kerana ini akan mendedahkan kepada risiko jangkitan parasit cacing. Memandangkan kos pembinaan kandang dan kos buruh ladang yang tinggi, adalah tidak bijak untuk memelihara kambing kacukan dalam kuantiti yang sedikit. Oleh itu, adalah dilihat lebih menguntungkan sekiranya anda memelihara baka yang tulen, walaupun hanya sekitar 50 ekor.

Walau bagaimanapun, harus diingat bahawa baka tulen adalah produk terhad ("niche"), dan pasarannya adalah pasaran untuk pembakaan semata-mata. Anda mungkin mengalami masaalah pemasaran jika menternak baka tulen dalam kuantiti yang besar, melainkan jika anda bersedia menjual dengan harga yang rendah. Walau bagamanapun, jika anda memilih baka tulen kambing tenusu seperti saanen, anda boleh juga memasarkan produk tenusu anda selain dari menjual kambing untuk baka.


Penternakan Berskala Sederhana dan Besar

Sekiranya anda memang bercadang untuk menternak kambing dalam skala yang sederana atau besar, misalnya dengan mempunyai 300 ekor atau lebih induk betina, anda harus memilih baka kambing pedaging, kerana daging merupakan produk kambing yang mempunyai pasaran terbesar. Di negara kita, terdapat permintaan yang tinggi terhadap kambing sembelihan untuk upacara akikah dan korban. Sehingga tahun 2008, pengimport membawa masuk kira-kira 20,000 ekor kambing feral dari Australia setiap tahun untuk tujuan sembelihan. Meskipun kambing feral merupakan kambing liar (kambing hutan) di Australia, dan risiko kematian akibat gejala 'stress' tersangat tinggi apabila tiba di Malaysia, permintaan terhadapnya sangat tinggi kerana harganya yang murah. Kambing feral dijual borong dengan harga antara RM400 - RM480 seekor.

Baka kambing pedaging yang terbaik adalah Boer. Ia berangka besar dan beratnya boleh mencapai lebih 100 kilogram, serta mempunyai nisbah daging yang tinggi berbanding tulang.


Pejantan Boer tulen (Fullblood)


Sekiranya and membeli baka induk Boer tulen tentunya memakan belanja yang terlalu besar. Anda seharusnya memilih induk dari baka kacukan yang mempunyai rangka badan yang besar, yang mana beratnya boleh mencapai 25kg atau lebih apabila dewasa. Induk kacukan seperti ini boleh dikahwinkan dengan Pejantan Boer tulen, dan biasanya akan menghasilkan anak boer kacukan yang berkualiti, dengan peratus genetik Boer yang tinggi.

Antara baka kacukan yang sesuai di kahwinkan dengan pejantan Boer adalah baka kambing kampung kacukan, baka koplo dll. Kambing kampung kacukan yang senang diperolehi di dalam pasaran kini adalah hasil kacukan antara induk kampung dan pejantan Anglo-Nubian. Koplo pula merupakan anak kacukan pejantan jamnapari dan induk kampung, biasanya diimport dari Indonesia. Harga pasaran bagi induk kacukan sebegini adalah di antara RM500 hingga RM700, bagi yang berusia di antara 8-12 bulan.





Kambing induk kampung kacukan (generasi awalnya dihasilkan dari kacukan antara induk kambing kampung iaitu kambing katjang dengan pejantan Anglo-Nubian)




Kambing induk Koplo yang dihasilkan dari kacukan antara induk kambing kampung dan pejantan jamnapari.




2. Program Pembakaan Boer Yang Kos Efektif


Pendahuluan
Pasaran utama kambing adalah untuk daging. Memandangkan Boer merupakan baka kambing pedaging yang terbaik, maka penternakan Boer kini menjadi kegemaran majoriti penternak kerana potensi pasarannya adalah besar.

Walau bagaimanapun buat masa ini, kebanyakan kambing Boer induk adalah diimport masuk dari luar negara terutamanya Australia. Oleh kerana perjalanan yang sangat jauh, kambing Boer yang tiba akan mengalami kepenatan atau gejala 'stress' yang menyebabkan kurangnya selera makan dan kemurungan. Gejala 'stress' ini amat ketara pada Boer betina dan ia mengambil masa berbulan-bulan untuk pulih. Ini ditambah pula dengan faktor iklim negara kita yang berbeza dari negara asal, menyebabkan kaedah pemeliharaan juga harus berbeza. Di Australia kambing diternak secara lepas bebas, kerana iklimnya yang panas kering di samping tanahnya yang luas. Di Malaysia pula kambing terpaksa diternak secara fidlot di dalam kandang kerana faktor hujan dan kadar kelembapan yang tinggi.

Risiko kematian induk Boer import adalah sangat tinggi dalam tempoh 'stress' ini. Memandangkan harga untuk induk Boer import adalah sangat tinggi, penternak mungkin memerlukan masa bertahun-tahun untuk mendapatkan kembali pulangan hasil dari pelaburan mereka.


Oleh itu, kami menggalakkan penternak supaya menghasilkan sendiri anak Boer kacukan F1 tempatan dengan menggunakan induk dari baka selain Boer yang berharga lebih murah. Langkah ini dapat mengurangkan kos kerana penternak sememangnya memerlukan bilangan induk yang banyak bagi menjayakan program pembakaan, seterusnya memastikan kejayaan projek penternakan mereka. Adalah dianggarkan, penternak memerlukan sekurang-kurangnya 300 ekor induk untuk menjadikan sesuatu projek penternakan kambing mereka berdaya maju.

Untuk Pejantan, penternak yang berkemampuan digalakkan supaya menggunakan Boer Tulen (Fullblood) demi menghasilkan anak kacukan Boer F1 yang bermutu. Biasanya Pejantan Boer agak lasak dan dapat pulih dari gejala 'stress' dalam tempoh yang singkat. Ia juga cepat menyesuaikan diri dengan persekitaran baru di negara kita.


Induk Koplo


Baka Koplo merupakan baka kacukan yang banyak didapati di Indonesia. Ia dihasilkan dari kacukan pejantan jamnapari dan induk kampung Indonesia. Induk dari baka koplo ini merupakan pilihan utama dalam program pembakaan Boer yang kami cadangkan. Di samping harganya yang berpatuan, induk koplo agak lasak dan sememangnya sesuai dengan iklim negara kita kerana baka ini berasal dari Indonesia, iaitu negara yang iklimnya sama dengan iklim tempatan kita. Kaedah penternakan kambing di Indonesia juga sama dengan di negara kita di mana kambing dibela secara fidlot di dalam kandang.

Induk koplo berusia kira-kira 15 hingga 18 bulan





Pejantan Boer FB (dgn sijil) berusia lebih 2 tahun dan seberat kira-kira 80kg.

Contoh anak Boer F1 yang kami hasilkan di ladang AsSakinah Agro Farm menggunakan induk Koplo dan Pejantan Boer FB



Induk Feral
Sebagai alternatif, Feral betina (dari Australia) boleh juga digunakan sebagai induk dalam program pembakaan Boer. Sebagaimana Koplo, kos induk Feral juga adalah rendah. Kebaikannya berbanding Koplo adalah baka Feral berbentuk badan yang lebih gemuk. Ia juga berbadan lebih rendah, memudahkan pejantan Boer memanjat semasa proses mengawan memandangkan pejantan Boer juga berbadan rendah . Walau bagaimana pun, risiko kematian adalah lebih tinggi bagi Feral yang baru tiba ke negara kita memandangkan ia berasal dari Australia, negara yang mempunyai iklim berbeza dengan negara kita.


Induk Feral bersama seekor anak hasil kacukan dengan pejantan Boer FB


Contoh anak hasil kacukan Pejantan Boer FB dan induk Feral



Kembali ke Laman Utama



14 comments:

  1. kena belajar dulu baru boleh pelihara kambing

    ReplyDelete
  2. penternak baru patut pergi melawat kandang2 kambing berhampiran. ambil semangat, bertanya dengan mereka yang berpengalaman. cuba dapatkan induk yang telah bunting, apabila beranak, akan rasa satu semangat untuk terus menternak.

    jom singgah blog Projek Kambing Muda

    ReplyDelete
  3. setuju sye minat bele kambing sye juga pernah bekerja di perternakan kambing selama 2 tahun

    ReplyDelete
  4. saya ingin memiliki bisnis ternak kambing, terimakasih atas penjelasannya
    sangat bermanfaat

    ReplyDelete
  5. assalamualaikum,
    sy seorg penternak kambing dan ingin menjual kambing dalam linkungan 40ekor,
    jika tuan-tuan ade yg berminat, bole email sy di syahijas91@gmail.com.

    ReplyDelete
  6. Whatsapp tuan sya nak tahu harga kambing 0177250443

    ReplyDelete
  7. Sy dari Syarikat Golden Farm...pembekal kambing boar kawasan kelantan...sekiranya berminat bleh hubungi sy...0139876767(aziz)

    ReplyDelete
  8. Sy dari Syarikat Golden Farm...pembekal kambing boar kawasan kelantan...sekiranya berminat bleh hubungi sy...0139876767(aziz)

    ReplyDelete
  9. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  10. Saya ingin menceburi bidang penternakan kambing In Sha ALLAH.Kalau tak keberatan,wassup saya tuan 0176124995

    ReplyDelete
  11. Saya ingin menceburi bidang ternak kambing In Sha ALLAH.Kalau tak keberatan,boleh saya tahu di mana lokasi tuan?Dalam selangor ke?

    ReplyDelete
  12. Saya berminat beli kambing. SMS ke no tel 01116030730.

    ReplyDelete

Followers